Video oleh AZRUL NAIMI ABDUL JALILPETALING JAYA 15 Nov. – Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (Angkasa) menjangkakan dagangan bernilai lebih RM200 juta akan berjaya dicatat sepanjang lima hari berlangsungnya Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS 2017).
Menurut Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah jumlah dagangan tersebut merangkumi kesemua pempamer yang terlibat termasuk pempamer antarabangsa.
Untuk rekod, terdapat 160 gerai pameran dibuka pada edisi tahun ini, dengan 20 daripadanya melibatkan koperasi antarabangsa dari Iran, India, Fiji dan beberapa negara lain lagi.
“Namun kami jangka nilai (dagangan) sebenarnya mungkin lebih,” kata Abdul Fattah sejurus majlis perasmian MACCOPS hari ini.
Karnival yang masuk tahun ketiga penganjurannya itu dirasmikan oleh Presiden Gabungan Koperasi Antarabangsa (ICA), Monique F. Leroux di sebuah hotel, di sini hari ini.
Karnival ini merupakan satu bentuk promosi anjuran Angkasa yang secara khusus mempromosikan perkhidmatan dan produk keluaran koperasi tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa. – UTUSAN ONLINE