5 OKT : GERAKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mendapat peruntukan sebanyak RM100 ribu daripada Setiausaha General Persatuan China dan Industri Malaysia (ACCCIM) Tan Sri Soong Siew Hoong.
Ia bertujuan untuk meningkatkan lagi tenaga kerja mahir dalam kalangan masyarakat yang kini mempunyai pengalaman luas dalam bidang kemahiran, namun tidak ada sijil dalam bidang tertentu.
Sehubungan itu jelas Presiden GERAKAN, Datuk Seri Dr Mah Siew Keong usaha tersebut adalah selaras dengan inisiatif kerajaan yang ingin melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang diiktiraf.
“Malaysia kini sedang berhadapan dengan masalah yang memerlukan tenaga kerja mahir dengan lebih ramai lagi, di dalam dunia pekerjaan pula akan berlaku pertembungan antara para graduan dengan pekerja berkemahiran tinggi.
“Jadi kita berusaha untuk selaraskan mereka untuk memperoleh pendapatan yang sepatutnya mereka dapat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat GERAKAN, Khamis.
Terdahulu, Siew Keong menerima peruntukan tersebut dalam bentuk cek replika daripada Siew Hoong.
Dalam sidang media yang sama Pengerusi Biro Bajet GERAKAN, Lim Thuang Seng meminta kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi membantu mereka yang mempunyai pengalaman kerja namun tiada sijil kemahiran.
“Mereka mungkin sebelum ini pergi pasang elektrik, membaiki motor, kereta tapi mereka ini tak ada sijil, cuma mereka ada pengalaman yang cukup untuk betulkan atau baiki sesuatu.
“GERAKAN amat memandang serius dalam hal ini, sebab pada masa depan pengguna akan minta bukti kemahiran setiap teknician, apa yang mereka boleh baiki, jadi kita minta kerajaan beri peruntukan sebanyak RM10 juta sebagai dana untuk membantu golongan ini supaya dapat tingkatkan pendapatan mereka,” jelasnya lagi.
Bagi tujuan ini permohonan akan dibuka pada 1 Oktober ini sehingga 31 Disember 2017.
Setiap pemohon dikenakan cas sebanyak RM300 bagi setiap bidang dan perlu melalui beberapa tahap, kemudian wang tersebut akan dikembalikan kepada setiap pemohon sebaik sahaja tamat pengajian.
Pemohon hendaklah berumur 18 tahun dan keatas dan mempunyai tiga tahun pengalaman bekerja.
Disadur dari : https://www.bnbbc.my/tvet-terima-rm100-ribu-tingkat-usaha-lahir-tenaga-kerja-mahir/