KUALA LUMPUR: Tribunal antarabangsa berhubung jenayah kemanusiaan terhadap etnik minoriti di Myanmar khususnya Rohingya, memulakan sesi prosidingnya di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.
Dianjurkan Permanent People’s Tribunal (PPT) yang berpangkalan di Rom, Itali, tribunal bebas itu bermula kira-kira jam 9.30 pagi tadi, dihakimi pakar berkaitan hak asasi manusia, genosid, perundangan dan bekas diplomat diketuai Pengasas Pusat Penyelidikan Genosid, Daniel Feierstein.
Ketika sesi prosiding bermula, pasukan pendakwa raya diketuai Doreen Chen membacakan empat pertuduhan umum terhadap kerajaan Myanmar, merangkumi jabatan kerajaan, tentera, polis, polis sempadan, anggota kanan Parti Liga Demokrasi Nasional (NLD), Presiden Myanmar, Htin Kyaw dan Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi.
Pertuduhan terbabit ialah jenayah antarabangsa terhadap muslim Myanmar, jenayah perang serta kemanusiaan terhadap etnik Kachin, genosid dan jenayah kemanusiaan terhadap etnik Rohingya dan pencabulan hak asasi manusia serius terhadap muslim Myanmar, Kachin serta Rohingya.
Chen turut membacakan 26 pertuduhan spesifik, masing-masing lima tuduhan jenayah oleh kerajaan Muanmar terhadap Kachin dan Rohingya serta 16 terhadap muslim Myanmar secara keseluruhan.
Sepanjang prosiding yang dijangka tamat jam 6 petang hari ini, beberapa saksi dalam kalangan pakar serta wakil daripada etnik Kachin akan memberikan testimoni bagi pihak pendakwa raya, manakala wakil etnik Rohingya akan memberikan testimoni esok dan wakil muslim Myanmar pada Rabu.
Pihak pendakwa raya juga turut mengemukakan pembentangan video mengenai bukti kemusnahan kediaman, imej satelit, dokumentari media antarabangsa serta temu bual dengan pelarian Rohingya dan Kachin di Myanmar dan Bangladesh.
Bagaimanapun, pihak defendan mewakili kerajaan Myanmar tidak hadir pada hari pertama tribunal itu meskipun menerima jemputan daripada pihak pengelola.
PPT pada hari ini kesinambungan daripada prosiding pertamanya berhubung isu sama pada 6 Mac lalu di Queen Mary University of London.
Hakim dijangka membuat keputusan dalam sesi PPT kali ini pada Jumaat.
Disadur dari : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/09/327092/tribunal-rohingya-bermula-wakil-myanmar-tak-hadir