SEMPORNA, 14 Mac (Bernama) — Cadangan Pakatan Harapan untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya mereka menang pilihan raya umum ke-14 disifatkan tidak masuk akal kerana cukai itu dilaksanakan untuk negara dan rakyat.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban berkata penghapusan GST yang merupakan antara pengisian dasar fiskal negara akan menghasilkan lompang besar kerana cukai jualan dan perkhidmatan yang dilaksanakan sebelum ini tidak efisien.
“(Jadi) GST sebenarnya cuma dimanipulasi oleh pihak pembangkang (untuk tujuan politik) sedangkan ia (GST) mempunyai sistem yang betul,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan Enam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Panglima Abdullah, di sini hari ini.
Pemansuhan GST itu antara kandungan manifesto pembangkang yang dilancarkan pada 8 Mac lalu.
Mengulas lanjut, Ramlee yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya menyifatkan manifesto tersebut sebagai manifesto kitar semula yang hanya bertujuan memancing undi.