Katanya, antara dadah jenis ATS yang mendapat permintaan tinggi ialah ekstasi, amphetamine dan era­min 5.

“Ini adalah antara faktor penjualan dadah semakin meningkat termasuk mudah didapati apabila pengedar turut dilihat berada di mana-mana, lebih-lebih lagi di kawasan taraf sosial ekonomi agak rendah.

“Kewujudan media sosial merupakan cabaran terbaharu dan sindiket pengedaran dadah juga kini mengikut trend semasa untuk menjual dadah kepada penagih,” katanya ketika di­hubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan enam daripada tujuh remaja berusia antara 11 hingga 18 tahun yang didapati positif dadah serta terlibat dalam kebakaran pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini sehingga mengorbankan 21 pelajar serta dua guru.

Sementara itu, Hamizan berkata, masalah dadah merupakan isu serius yang bukan sahaja berlaku di negara ini, malah di seluruh dunia dan tidak boleh dipandang ringan.

“Bagi mengekang masalah ini, kasih sayang yang secukupnya perlu dicurahkan kepada anak-anak yang masih mentah dan pada masa sama kawalan ketat daripada ibu bapa. Remaja cenderung untuk terlibat dalam aktiviti sosial apabila keluarga mengabaikan mereka,” katanya.

Selain itu beliau berkata, pendidikan yang secukupnya juga dapat menghindari anak-anak yang masih muda daripada terjebak dalam gejala sosial termasuk penagihan dadah.

“Merujuk kepada remaja yang menjadi suspek kebakaran itu, kese­mua mereka didapati tidak bersekolah, maka ada hubungkait betapa pentingnya pendidikan kepada anak-anak ini agar mereka dapat menghindari aktiviti berpeleseran secara berkumpulan,” katanya.