BERITA kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur baru-baru ini menggemparkan seluruh negara. Kebakaran itu mengorbankan 21 pelajar tahfiz dan dua warden. Malapetaka saban tahun ini sepatutnya banyak beri pengajaran dan teladan. Justeru, kita perlu belajar dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.
Agensi kerajaan berkaitan kebakaran dan keselamatan perlu kaji semula keberkesanan perundangan dan peraturan sedia ada seperti Akta Perkhidmatan Kebakaran 1988 (Akta 341). Pinda ikut kesesuaian. Perundangan berkaitan juga perlu disemak semula. Perundangan berkaitan kebakaran dan keselamatan luar negara boleh dijadikan perbandingan.
Rangka pelan ikut kesesuaian, keperluan
Dasar Penyenggaraan Bangunan Awam juga perlu diperkenalkan. Peruntukan kewangan untuk penyenggaraan perlu cukup. Seterusnya, dibentuk Pelan Induk Pencegahan Kebakaran Negara untuk maksud keseragaman. Pelan ini perlu ambil kira amalan terbaik di dalam dan luar negara.
Ubah suai dilakukan ikut kesesuaian dan keperluan. Di Australia Selatan sebagai contoh, rumah berkaca tidak dibenar dibina di atas bukit kerana pembiasan cahaya matahari boleh menyebabkan kebakaran pada musim panas bagi bangunan di bawah bukit dan hutan belukar sekitarnya. Kebakaran hutan jadi ancaman besar kepada negara seperti Australia dan Amerika Syarikat.
Pelan induk itu perlu ambil kira punca kebakaran dan cara menanganinya. Antaranya, susun atur bangunan yang dibina, bahan binaan digunakan dan penyenggaraan terancang dan pemantauan berterusan. Penyenggaraan bangunan perlu dirancang bukannya tatkala berlaku malapetaka atau kemalangan.
Ibarat kata pepatah, sudah terhantuk baru tengadah. Begitu juga dengan audit penyenggaraan secara terancang mampu elak berlaku kebakaran. Binaan seperti pintu, lantai, dinding, bumbung dan sebagainya perlu mematuhi spesifikasi Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam, 1984.
Misalnya, dengan ketebalan daun pintu tertentu, sekiranya berlaku kebakaran, masa yang singkat membolehkan penghuni bangunan menyelamatkan diri. Begitu juga bukaan seperti pintu atau jeriji yang boleh dibuka supaya penghuni pantas keluar ketika kebakaran. Elak bahan binaan mudah dijilat api atau keluarkan banyak asap. Sering didapati perabot mewah tidak ada ciri tebatan kebakaran memuaskan. Perabot kulit dan bulu kambing biri-biri, misalnya, boleh disambar api sekelip mata. Begitu juga tilam getah atau permaidani tebal. Mainan kanak-kanak seperti anak patung, bantal kekabu, mainan plastik mudah terbakar. Birai dan jendela daripada kain mudah dijilat api dan keluarkan asap tebal ketika kebakaran.
Ketika kebakaran, asap tebal menyebabkan mangsa sesak nafas dan mati sebelum terbakar. Jadi, alat bantuan pernafasan juga perlu disediakan di tempat tertentu. Lebih penting, penyediaan perenjis air dan alat pemadam api sentiasa berfungsi. Ini termasuk juga alat penggera kebakaran dan hos saluran air. Suatu ketika dahulu, timba untuk isi air dan pasir disediakan terutama di sekolah.
Pemeriksaan berkala perlu
Mungkin beberapa pakaian khas (seperti baju khas kebakaran dan topeng pernafasan) patut juga disediakan. Begitu juga maklumat mengenai keselamatan dan kebakaran. Tempat berkumpul jelas lokasinya perlu ada. Semua peralatan mencegah kebakaran perlu diaudit pada tempoh tertentu. Pemeriksaan secara berkala yang sistematik perlu diadakan.
Ujian kebakaran perlu diadakan secara nalar supaya timbul kesedaran bahaya kebakaran dan penjagaan keselamatan. Tanda arah jalan keluar bangunan dan tempat berkumpul ketika kecemasan sewajarnya diletak di laluan mudah dilihat. Laluan keluar masuk yang mudah perlu diambil kira.
Pastikan tiada kenderaan yang diletak di hadapan laluan keluar masuk. Begitu juga tiada kenderaan diletak dekat paip bomba yang menyukarkan pihak Bomba dan Penyelamat menggunakan kemudahan bekalan air jika berlaku kebakaran. Ada lapangan terbang mempunyai kedai berjenama yang banyak, sehingga notis keselamatan dan panduan kebakaran sukar dilihat. Justeru, notis berjaga-jaga kemungkinan terjadinya kebakaran perlu ditampal dan boleh dilihat dengan mudah.
Penggunaan kamera litar tertutup juga perlu digalakkan. Dalam pada itu, penting sekali dilihat dan diperiksa secara nalar pendawaian bangunan kerana boleh dimakan tikus.
Selain pendawaian lama, penggunaan ubat nyamuk secara tidak berhati-hati perlu dielakkan. Tong gas rosak atau tidak ditutup rapi boleh juga menyebabkan letupan dan kebakaran. Kemudahan mengecas telefon bimbit dan komputer riba disediakan ikut keperluan seperti di lapangan terbang.
Tanpa kemudahan ini, orang ramai mungkin menyalahguna tanpa kawalan dan boleh menyebabkan kebakaran. Begitu juga dengan nombor telefon kecemasan, pihak Bomba dan Penyelamat dan pengawal keselamatan hendaklah jelas kelihatan. Denda berat perlu dikenakan bagi panggilan palsu atau ketidakpatuhan undang-undang berkaitan kebakaran dan sebagainya.
Pelan induk itu juga hendaklah ambil kira aspek keselamatan, kepatuhan agensi berkaitan dan disiplin pengguna. Agensi berkaitan perlu ambil tenaga berkelayakan sahaja. Pindaan Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (1981) baru-baru ini memperkasa kerjaya pengurus harta profesional. Pihak universiti perlu tawarkan program berkaitan kebakaran dan keselamatan di pelbagai peringkat pengajian.
Kita tidak boleh bertolak-ansur dengan sikap kurang prihatin terhadap bahaya kebakaran dan risiko keselamatan. Kita tidak sanggup lagi dengar banyak nyawa melayang dan harta benda rosak akibat kebakaran yang sebenarnya boleh dielakkan. Justeru, keseragaman dan kesepaduan dalam mengatur usaha terancang membentuk Pelan Induk Pencegahan Kebakaran Negara kena pada masanya demi kesejahteraan rakyat.
Disadur dari : https://www.bharian.com.my/kolumnis/2017/09/328338/seragamkan-pelan-cegah-kebakaran