6 OKT: Polis akan mengambil keterangan semua atlet acara terjun bagi melengkapkan siasatan kes seorang jurulatih Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) yang disyaki merogol seorang atlet acara berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata masih terlalu awal untuk mendedahkan sama ada terdapat atlet lain yang turut menjadi mangsa.
“Saya tidak boleh komen (lanjut) buat masa ini… sudah tentu (polis) akan mendapatkan keterangan daripada semua atlet. Ini prosedur biasa dalam siasatan dan saya tidak akan dedahkan berapa ramai (atlet) yang sudah diambil keterangan setakat ini,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara peringkat Perak semalam.
Akhbar semalam mendedahkan seorang jurulatih ASUM berusia 35 tahun yang berasal dari China dan berstatus taraf penduduk tetap (PR), ditahan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) susulan laporan oleh ibu bapa mangsa pada Ahad lalu.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi mengesahkan polis menerima aduan oleh Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mendakwa beliau dan keluarganya menerima ugutan berikutan pendedahannya ada pihak yang menawarkan wang tunai agar beliau keluar dari parti berkenaan.
“Kita akan siasat seperti biasa… ada banyak dakwaan bukan setakat ugutan saja, termasuk juga dakwaan rasuah. Saya fikir mungkin ada yang akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Disadur dari : https://www.bnbbc.my/semua-atlet-acara-terjun-akan-diambil-keterangan-kpn/