Tidak tahu BNM terlibat urus niaga mata wang asing

PUTRAJAYA 18 Sept. – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini mempertikai keterangan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin apabila beliau menyatakan tidak tahu menahu penglibatan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga pertukaran mata wang asing yang mengalami kerugian berbilion ringgit sekitar tahun 1990-an.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, beliau malah hairan kerana selaku menteri, Daim, 79, sepatutnya mengambil tahu operasi bank pusat tersebut serta polisi yang dilaksanakan kerana perkara itu di bawah tanggungjawabnya.

Ujar Mohd. Sidek, meskipun Lembaga Pengarah BNM bertanggungjawab memaklumkan operasi bank kepadanya, sebagai menteri beliau harus mempunyai inisiatif dengan mengambil tahu sebarang perkembangan melibatkan perubahan dasar yang dilaksanakan oleh bank itu.

“Tapi dalam kes ini (berkaitan urus niaga mata wang asing), kamu bukan sahaja tidak mendengar dan mengetahuinya, malah kamu tidak ambil peduli (mengenainya),’’ ujar Mohd. Sidek pada sesi soal jawab melibatkan saksi ke-23 itu pada suruhanjaya yang bersidang masuk hari kelapan hari ini.

Pengerusi suruhanjaya itu kemudian menarik perhatian sidang dengan merujuk kete­rangan bekas Penolong Ketua Audit Negara, P. Kanason, 78, yang menyedari berlaku kerugian dalam urus niaga itu sehingga beliau mengambil inisiatif meminta nasihat perunda­ngan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Mohd. Sidek turut me­nyentuh kenyataan yang pernah diberikan oleh Gabenor BNM ketika itu, Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein ber­hubung perubahan polisi bank pusat itu sebelum menceburkan diri dalam urus ni­aga ber­ke­na­an.

Terdahulu Daim me­ngaku tidak menge­tahui BNM men­­ja­lankan urus niaga pertukaran ma­ta wang asing kerana perkara tersebut bukan sahaja tidak dimaklumkan kepadanya malah be­liau sendiri tidak bertanyakan hal itu daripada pe­ngurusan tertinggi bank pusat berkenaan.

Bagaimanapun, Daim berkata, selaku Menteri Kewangan, beliau tidak mencampuri urusan dalaman atau perjalanan bank pusat itu, namun menjadi tanggungjawab BNM untuk memaklumkan kepadanya.

“Lembaga Pengarah BNM se­patutnya bertanggungjawab me­maklumkan urus niaga ber­kenaan dari tahun 1984 dan 1990 atau perubahan dasar BNM berhubung urus niaga mata wang asing, namun tiada siapa melakukannya,’’ ujarnya.

Menurut Daim, walaupun, setiap bulan Gabenor BNM akan mengemukakan secara sulit kedudukan rizab bank kepadanya, beliau tidak diberitahu kerugian yang dialami oleh bank pusat itu dalam urus niaga berkenaan pada tahun 1988 dan 1989.

Sidang itu dibe­ritahu, laporan urus niaga bertarikh 18 April 2007 mencatatkan jumlah ke­rugian RM772.3 juta pada 1988 dan RM2.259 bilion pada 1989 manakala bank pusat itu mencatat keuntungan berjumlah RM2.473 bilion pada 1990 akibat urus niaga ber­kenaan.

Menurut Daim, selaku Menteri Kewangan, beliau tidak bertanggungjawab memantau operasi BNM kerana operasi bank pusat itu di bawah tanggungjawab lembaga pengarahnya.

Beliau berkata, pihaknya turut tidak dipertanggungjawabkan memberi taklimat kepada Perdana Menteri atau Jemaah Menteri berhubung operasi BNM sepanjang menjawat jawatan itu dari Julai 1984 hingga Mac 1991.

Daim menjelaskan, urusan BNM bukan satu-satunya perkara yang menjadi perhatian kementerian kerana beliau mempunyai banyak perkara yang perlu dipertimbangkan.

Disadur dari : m.utusan.com.my/berita/mahkamah/rci-pertikai-daim-1.528140#

By admin_dato

Yang Berbahagia Professor Dato’ Seri Dr. Alex Ong adalah seorang Ahli Koperat (Perniagaan) yang berjaya khususnya dalam bidang pelaburan. Beliau juga merupakan seorang pejuang budaya yang dikenali ramai dan seorang ahli perniagaan yang dihormati serta pernah dilantik memegang beberapa jawatan sebagai penasihat dalam Kerajaan Negeri di Malaysia. Dengan kepakaran yang ada pada beliau, maka beberapa Pemerintah Provinsi, Kabupaten dan Kota di Indonesia [1] telah melantik beliau sebagai Ketua Perwakilan bagi membantu dan menyokong tugas Kedutaan Besar Republik Indonesia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *