Menurut Shamsher, Guan Eng tidak lagi boleh memegang jawatan tersebut kerana secara dasarnya sudah melebihi tiga penggal berturut-turut seperti ditetapkan parti.
Katanya, pada pemilihan 2012 yang dipertahankan DAP sebagai sah meskipun di sebalik amaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Guan Eng sudah memegang jawatan itu buat kali ketiga iaitu pada penggal terakhir.
“Walaupun boleh dilantik semula sebagai Setiausaha Agung dari segi undang-undang, tetapi dari sudut moral Guan Eng tahu beliau sudah melengkapkan tiga penggal.
“Jadi kenapa masih terima jawatan itu dan jika Guan Eng ada maruah, beliau sepatutnya letak jawatan,” katanya.
Dalam pemilihan semula CEC DAP di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Selangor semalam, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mengekalkan jawatannya sebagai Setiausaha Agung parti selama lapan tahun sejak 2004 hingga 2012.
Meskipun memegang jawatan itu secara tidak sah hampir lima tahun selepas ROS mengisytiharkan pemilihan CEC DAP pada Disember 2012 dan pemilihan semula pada September 2013 tidak sah, Guan Eng tetap memperoleh undian ketiga tertinggi iaitu 1,080 undi.
Ini bermakna, Guan Eng akan terus memegang jawatan itu hingga 2020 walaupun beliau berada di belakang Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang memperoleh 1,198 undi dan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi DAP.
Dalam masa sama, Shamser turut membantah tindak-tanduk Guan Eng yang kononnya mempertikai arahan pemilihan semula CEC tetapi dalam masa sama menikmati kelebihan disebabkan arahan ROS itu dengan dilantik semula sebagai Setiausaha Agung.
Sambil menyifatkan apa yang dilakukan Guan Eng itu sebagai memalukan, Shamser turut menegaskan bahawa Gobind ialah individu paling layak dilantik sebagai Setiausaha Agung DAP berdasarkan pemilihan semalam.
Disadur dari : www.utusan.com.my/berita/politik/pertikai-guan-eng-terus-pegang-jawatan-setiausaha-agung-1.551631