Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada gunanya jika perwakilan berbincang mengenai kedudukan atau jawatan tinggi dalam parti jika tidak mendapat mandat besar dalam PRU-14.
Kata Hishammudddin, adalah amat penting bagi parti untuk menyedarkan rakyat terhadap jasa dan apa yang telah dilakukan kerajaan setakat ini.
“Sebagai contoh, Bajet 2018 yang dibentang baru-baru ini, itu kalau tidak feel good factor, saya tak taulah. Tapi ini hasil perjuangan parti kita. Yang membentangkannya (Bajet 2018) juga adalah presiden kita. Perkara inilah yang akan dibentang dan dikupas.
Jangan kita beralih pandang daripada apa yang telah kita jayakan. That is feel good factor. Setiap apa yang diusahakan kepimpinan parti mesti diterjemahkan kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi.
“Keduanya, keselamatan tidak datang secara semula jadi. Kestabilan negara dan keselamatan di rantau ini memerlukan kepimpinan yang fokus untuk memastikan bahawa setiap ancaman yang dihadapi seperti Daesh dan sebagainya dapat dibincangkan dalam perhimpunan agung akan datang,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Usul Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan beberapa ahli majlis tertinggi UMNO iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Emieyati Samsudin.
Pada tahun ini, sebanyak 826 usul diterima daripada 191 UMNO bahagian di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 635 usul diterima untuk rujukan, 191 usul diterima tanpa bahas manakala tiada usul yang ditolak. Daripada 635 usul yang diterima, 238 usul adalah politik, ekonomi (79), agama (40), sosial (97), pendidikan (114), satu usul melibatkan pindaan Perlembagaan dan 66 adalah lain-lain usul.
Tambah Hishammuddin, jurucakap usul dari negeri untuk Perhimpunan Agung UMNO 2017 telah diputuskan oleh badan perhubungan UMNO negeri.
Katanya, pihaknya mahu memastikan perhimpunan yang diadakan kali ini bukan sekadar menampakkan feel good factor, inklusif tetapi juga ‘mentaliti kemenangan’ sesama kita.
“Apa yang kita bincangkan nanti semua datangnya dari akar umbi. Secara inklusif, kita turut mengambil kira pandangan ahli-ahli di peringkat bahagian. Jadi, proses perhimpunan kali ini telah bermula pada mesyuarat kali ini.
“Kita perlu menganggap perhimpunan agung kali ini begitu penting iaitu perhimpunan yang terakhir sebelum PRU-14. Oleh itu, pengerusi usul ekonomi, pendidikan, agama ucapan dasar telah pun dikenal pasti.
Disadur dari : www.utusan.com.my/berita/politik/persediaan-pru-14-tumpuan-perhimpunan-agung-umno-2017-1.551763