22 SEPT: Langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan setiausaha politik, kerani dan pembantu peribadi seorang Ahli Parlimen PKR semalam tidak bermotifkan politik, kata Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.
Menurutnya, agensi itu tidak memilih sama ada seseorang itu ahli politik parti pemerintah atau pembangkang dalam menjalankan tugasnya untuk memerangi rasuah.
“Kita tegaskan bahawa penahanan dijalankan secara profesional dan bukan berdasarkan politik kerana SPRM tidak ada masa untuk berpolitik,” katanya yang mengulas kenyataan Ahli Parlimen Subang R Sivarasa yang membuat dakwaan demikian susulan tiga kakitangannya direman empat hari bermula hari ini.
Dzulkifli mengulas selepas merasmikan Karnival Kemah Keming Tolak Rasuah bersempena Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR 2017) di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Terengganu hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Dzulkifli menarik perhatian agar semua pihak memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap pihak yang ditahan sebelum membuat pembelaan di media massa.
“Tolong bagi peluang kita jalankan siasatan dan selepas selesai siasatan dan dibuktikan tidak bersalah, kita tidak ambil tindakan. Kalau sudah cukup bukti baru kita akan ambil tindakan,” katanya lagi.
Disadur dari : https://www.bnbbc.my/penahanan-kakitangan-mp-subang-dibuat-profesional-sprm/