Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, satu jawatankuasa khas Pemuda BN akan mengumpulkan dan mengemukakan cadangan dalam masa terdekat untuk diketengahkan dan dimasukkan dalam manifesto BN kelak.

‘‘Pemuda BN berada dalam keadaan sedia untuk menghadapi PRU-14, cumanya saya te­lah meminta semua parti-parti komponen supaya mengemukakan beberapa idea yang boleh dimasukkan dalam manifesto BN nanti.

‘‘Pengundi muda adalah segmen terpenting dalam PRU-14, jadi dalam sebulan dua ini, satu jawatankuasa akan mengadakan perbincangan bersama bagi mengemukakan cadangan yang sesuai supaya dapat dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan BN dan menjadi sebahagian daripada manifesto yang akan memberi tumpuan khusus kepada pengundi muda dan pengundi kali pertama,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Pemuda BN di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Khairul Azwan Harun.

Sementara itu, Khairy memberitahu, Pemuda BN kekal komited untuk membantu mang­sa-mangsa banjir besar yang melanda di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia terutamanya di Pulau Pinang.

‘‘Pemuda BN dan Pemuda UMNO sudah mengerahkan tenaga bantuan sejak hari pertama kejadian lagi, jadi tidak timbul sebarang isu bantuan banjir dalam mesyuarat kali ini.

‘‘Kita ada wakil-wakil UMNO, Gerakan dan MyPPP di sana malah bantuan-bantuan kita boleh dilihat dengan jelas melalui media sosial, ini bukti kita sentiasa membantu rakyat tidak kira keadaan,’’ katanya.

Disadur dari : www.utusan.com.my/berita/politik/pemuda-bn-sedia-hadapi-pru-14-1.548721