Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul. Rashid Harun berkata, berdasarkan data yang diberikan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Monsun Timur Laut yang membawa taburan hujan tinggi di kawasan berkenaan bakal bermula pada tempoh tersebut.
Beliau berkata, MET Malaysia juga memaklumkan perairan negara termasuk Pantai Timur akan dilanda fenomena air pasang besar di dalam tempoh tiga bulan mulai bulan depan hingga Disember.
“Kita risau hujan lebat yang berlaku di pendalaman (negeri-negeri Pantai Timur) dalam kuantiti tinggi akan lambat mengalir keluar ke laut akibat fenomena air pasang besar itu sekali gus menyebabkan banjir.
“Sehubungan itu, kita telah membuat persiapan awal dengan memanggil kesemua agensi terlibat di negeri-negeri tersebut bermula dengan Terengganu untuk melakukan simulasi banjir,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutup Latihan Persediaan Menghadapi Bencana Banjir Monsun Timur Laut di Kem Batalion 9, Pasukan Gerakan Am di sini hari ini.
Abdul Rashid berkata, latihan itu yang melibatkan 100 wakil pelbagai jabatan dan agensi di peringkat daerah memberi ruang kepada pihaknya menilai tahap persiapan termasuk pelan kecemasan dan aset yang dimiliki di setiap daerah bagi memudahkan penyelarasan.
Sepanjang latihan selama dua hari itu, kesemua peserta melakukan simulasi beberapa situasi bencana yang mungkin terjadi pada musim banjir secara bersama.
Beliau berpuas hati dengan kesiapsiagaan kerajaan negeri Terengganu selain mendapat kerjasama daripada 36 badan bukan kerajaan negeri ini sebagai Rakan Strategik Nadma bagi menyelaraskan bantuan kepada mangsa kelak.
Katanya, latihan persediaan ini juga akan diadakan di Kelantan minggu depan sebelum menyusul di negeri-negeri lain yang yang berpotensi dilanda banjir.
“Selain itu, kita juga akan menempatkan Pasukan Bantuan Kecemasan Nadma di kesemua negeri terbabit yang akan berfungsi pemudah cara pengurusan banjir sehinggalah pasca banjir,” katanya.
Disadur dari : m.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/nadma-mengatur-persiapan-awal-hadapi-banjir-1.528814