KUALA LUMPUR: Hak masyarakat Islam menunaikan ibadat dan menjalankan kegiatan di masjid ditindas kerajaan Myanmar apabila madrasah diarahkan tutup dan tanahnya dirampas, sejak 1968.
Tampil sebagai saksi di hadapan tujuh panel hakim, Thuzar Maung, berkata tindakan kejam itu sebahagian strategi untuk mengusir dan menghapuskan penganut Islam di Myanmar.
Contohnya, beliau berkata, sebanyak 11 daripada 14 masjid di daerah Mandalay ditutup kerana kononnya angkara rusuhan yang didalangi masyarakat Islam, sedangkan perkara berkenaan tidak benar.
“Selepas rundingan, empat daripada 11 masjid dibuka semula, manakala tanah madrasah selebihnya dirampas oleh kerajaan Myanmar.
“Tanah yang dirampas pula dijual kepada pihak ketiga untuk pembangunan, malah keuntungannya digunakan kerajaan bagi tujuan lain,” katanya ketika memberikan keterangan pada Permanent People’s Tribunal (PPT), di sini, hari ini.
Susulan kemelut di Myanmar semakin memuncak, Maung yang bekerja sebagai ejen pemasaran bertindak melarikan diri ke Malaysia pada 2014, namun masih mengikuti perkembangan masyarakat Islam di negara asalnya.
Beliau berkata, kerajaan Myanmar menerusi angkatan tenteranya sehingga kini masih menyalahgunakan kuasa untuk menutup masjid di seluruh negara berkenaan.
“Berita kekejaman ini tersebar di media sosial yang dikendalikan rangkaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Myanmar,” katanya.
Sementara itu, Sitau Brakat, 25, terpaksa menipu mengenai status agamanya apabila diserang sekumpulan puak pelampau Buddha bersenjatakan parang dan pisau, pada 2013.
Beliau berkata, tangannya bagaimanapun tercedera ketika cuba mempertahankan diri dalam serangan itu kerana ditetak parang, sebelum sempat melarikan diri ke hutan.
“Mereka datang secara tiba-tiba dan terus menyerang individu yang tampak seperti ‘kular’ (mempunyai iras wajah dan warna kulit seperti dari India).
“Saya dapat melarikan diri kerana mengakui bukan orang Islam selepas mereka menetak dengan parang, namun lima sekeluarga yang juga majikan kami terbunuh dalam serangan itu,” katanya.
Disadur dari : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/09/328024/myanmar-tutup-masjid-jual-tanah