KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memulakan inisiatif penyumberan bakat tempatan dengan beberapa syarikat perkilangan bagi menyediakan peluang pekerjaan khusus untuk belia gelandangan, individu kurang bernasib baik dan tiada pekerjaan.
Sebagai permulaan, agensi promosi pelaburan negara itu sudah bekerjasama dengan QSR Brands, Yakult dan Coca-Cola Bottlers bagi menawarkan 216 jawatan kepada belia dalam kategori di bawah inisiatif Talent CSR @ MIDA yang baharu itu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata banyak usaha perlu dilakukan kerana kadar pertumbuhan negara harus seiring dengan penciptaan peluang pekerjaan untuk rakyat.
“Saya berbesar hati kerana banyak pihak sudah mengambil langkah aktif dalam menyediakan akses kepada peluang pekerjaan.
“Saya dimaklumkan, MIDA sedang membangunkan pangkalan data pencari kerja melalui laman web MIDA,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Hari Terbuka MIDA 2017, di sini semalam.
Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud.
Beliau berkata, bersandarkan kepada hubungan rapat MIDA dengan industri, agensi berkenaan akan dapat mengenal pasti jenis tenaga kerja yang diperlukan berdasarkan hala tuju industri berkaitan.
“Dengan menggunakan pangkalan data itu, MIDA akan mempergiat usaha dalam memenuhi keperluan tenaga kerja syarikat, memadankan pencari kerja dengan bakal majikan yang tepat.
“Saya ingin menggalakkan lebih ramai pencari kerja merebut peluang ini dengan memanfaatkan platform maya di laman web MIDA,” katanya.
Mengenai Industri 4.0, Mustapa berkata, teknologi tidak perlu dilihat sebagai pesaing untuk pekerjaan, tetapi sebagai rakan kongsi dalam mewujudkan pekerjaan yang berkualiti.
“Suka atau tidak, teknologi termasuk automasi dan robotik akan terus kekal wujud. Ia bergantung kepada kita, sama ada memanfaatkannya atau berhadapan risiko ditinggalkan oleh pesaing.
“Oleh itu, kerajaan mengutamakan inovasi dan menggalakkan penggunaan elemen Industri 4.0 seperti pengilangan pintar dan automasi untuk membina skala ekonomi lebih besar,” katanya.
Disadur dari : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/09/327583/mida-mula-inisiatif-sedia-peluang-kerja-kepada-gelandangan