SINGAPURA, 25 Okt (Bernama) — Dengan 130 projek berpotensi bagi pembiayaan hijau bernilai lebih RM2 bilion dalam perancangan, Malaysia ternyata berada pada landasan yang tepat untuk menjadi peneraju dunia dalam pelaburan hijau, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Beliau berkata daripada projek tersebut, 111 merupakan projek tenaga boleh baharu bernilai RM1.9 bilion dan 19 projek kecekapan tenaga bernilai RM248 juta, mencerminkan potensi Malaysia bagi pembiayaan hijau.
“Kami turut melihat kepada Loji Fotovoltan Solar Skala Besar, yang melibatkan 18 syarikat untuk tempoh dua tahun akan datang hingga 2018, dengan kapasiti 402 MW,” katanya pada Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura 2017 (SIEW 2017) selama lima hari mulai 23 Okt.
Beliau berkongsi pandangan Malaysia dalam menggalakkan pertumbuhan sektor tenaga bersih dan menggunakan teknologi tenaga baharu di rantau ini pada Forum Cabaran Pelaburan Tenaga di Asia – Memacu Pertumbuhan dan Membiayai Peralihan Tenaga Bersih.
Bercakap kepada Bernama di luar forum tersebut, Ongkili berkata Malaysia mempunyai dasar dan peraturan yang jelas dan telus bagi pelaburan mesra alam.
Disadur dari : www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1403724