TOKYO: Malaysia meneruskan penguasaan sebagai pusat perkembangan industri kandungan digital di rantau Asia Tenggara dengan mengambil alih kedudukan Thailand sejak tahun lalu.
Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Jepun, Shah Nizam Ahmad, berkata industri kandungan digital negara merekod jumlah pendapatan RM7.6 bilion tahun lalu.
Daripada jumlah itu, katanya, sejumlah RM1.17 bilion adalah hasil daripada aktiviti eksport terutama membabitkan perkhidmatan penyumberan luar untuk permainan video dan animasi.
Beliau menjangkakan jumlah pendapatan tahun ini terus meningkat dan penguasaan Malaysia dalam industri kandungan digital serantau semakin kukuh apabila beberapa syarikat permainan video tempatan turut terbabit dalam penghasilan permainan video terlaris dan terkenal dunia seperti Final Fantasy XV, Uncharted 4: A Thief’s End, Bloodborne dan Street Fighter 5.
“Daripada penyertaan tahun lalu di pameran Tokyo Game Show, ada beberapa syarikat Malaysia menarik perhatian syarikat gergasi Jepun dan memasuki fasa perbincangan yang serius.
“MATRADE sekali lagi mengetuai delegasi Malaysia pada Tokyo Game Show tahun ini bukan sahaja untuk mempromosikan industri tempatan tetapi juga untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat perkembangan industri digital serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada BH selepas Sesi Rangkaian Kerjasama dengan Pemain Pasaran Kandungan Digital Jepun dan Malaysia di Hotel Imperial di sini, hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris.
Sebanyak 14 syarikat pembangun permainan video tempatan dan animasi hadir pada program itu bagi menjalin peluang kerjasama dengan industri kandungan digital Jepun dan menyertai pameran Tokyo Game Show 2017 yang berlangsung mulai Khamis hingga Ahad ini di Makahuri Messe, Chiba, dekat sini.
Turut hadir, 50 wakil dari 40 syarikat utama pembangun permainan video dan hiburan digital Jepun membabitkan pelbagai kesatuan termasuk Kesatuan Kandungan Digital Jepun.
Sementara itu, Ahmad Izlan berkata, Jepun dan Malaysia menyedari kepentingan sumbangan kandungan digital kreatif sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, ia jelas dilihat melalui inisiatif kedua-dua negara dengan kerajaan Jepun mempromosi kandungan digital Jepun menerusi inisiatif Cool Japan manakala Malaysia terus memajukan industri ini dengan menyenaraikannya sebagai salah satu Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) – Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur melalui Projek Titik Permulaan (EPP).
“Permintaan pasaran global untuk kandungan kreatif meningkat dengan mantap sepanjang dekad yang lalu walaupun kemerosotan dalam ekonomi global.
“Kami percaya dapat bekerjasama dan saling melengkapi dalam media kreatif dan industri kandungan digital dengan memanfaatkan keupayaan dan kepakaran masing-masing sekali gus memperkuat hubungan dua hala antara dua negara,” katanya.
Disadur dari : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/09/327600/malaysia-kuasai-industri-kandungan-digital-asia-tenggara