Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu melibatkan usaha bersepadu ASEAN dalam bidang keganasan, pemerdagangan manusia, penyeludupan manusia dan pengubahan wang haram.
Dalam isu keganasan, katanya, Malaysia akan menganjurkan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya pada Januari tahun depan.
“Kita akan mempromosikan pendekatan dakwah dan kesederhanaan Islam sebagai satu cara menangani keganasan serta memulihkan semula mereka yang terbabit,” katanya kepada pemberita Malaysia selepas mengikuti Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-11 di Hotel Conrad Manila di sini, hari ini.
Cadangan lain katanya, Malaysia meminta negara anggota ASEAN menyokong usaha Malaysia dalam menangani isu pemerdagangan manusia supaya pelbagai tindakan yang telah diambil selama ini tidak menjadi sia-sia.
Timbalan Perdana Menteri berkata, negara yang menjadi sumber penyumbang pemerdagangan manusia itu tidak boleh melampiaskan tanggungjawab tersebut kepada Malaysia sahaja.,
Yang turut hadir, Duta Malaysia ke Filipina, Datuk Raszlan Abdul Rashid dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mustafa Ibrahim..
Ahmad Zahid berkata, Bank Negara Malaysia juga merancang mengadakan Persidangan Antarabangsa Memerangi Pembiayaan Keganasan November ini sebagai komitmen Malaysia memerangi jenayah pengubahan wang haram.
Katanya, Malaysia juga mencadangkan agar diadakan program kerja bagi menangani isu penyeludupan manusia yang merupakan salah satu skop AMMTC.
Terdahulu, Ahmad Zahid menyerahkan jawatan Pengerusi AMMTC kepada Filipina, selepas menjalankan tugas itu sejak 2015.
Disadur dari : m.utusan.com.my/berita/nasional/malaysia-kemuka-empat-cadangan-dalam-ammtc-11-1.528811