CYBERJAYA, 18 Mac (Bernama)– Malaysia bukan sebuah negara yang gagal kerana negara ini kaya dengan pelbagai hasil serta mempunyai potensi yang luas, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata kerajaan sedia ada telah menggubal dasar-dasar yang membawa kebaikan kepada rakyat dan jika perlu, dasar itu perlu ditambah baik agar menyediakan perkhidmatan lebih efisyen.
“(Dasar) Yang baik dikekalkan dan yang buruk perlu diperbetulkan atau dihapuskan. Bukan semua yang dilakukan oleh kerajaan membawa keburukan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Manifesto Malaysia Sejahtera bersama rakan strategik Gagasan Sejahtera (Gagasan) di sini, malam ini.
Manifesto itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Gagasan Sejahtera terdiri daripada PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia.