Pelbagai barangan kegunaan harian termasuk tepung, gula, beras, minyak masak selain barangan basah seperti cili dan juga sayur-sayuran yang dijual pada harga serendah RM2, menarik perhatian para pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang membeli barangan keperluan yang dijual.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, program siri kelima itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar kerana harga yang ditawarkan amat berpatutan selain menjimatkan masa serta mudah didapati.
“Program ini bukti komitmen kerajaan dalam membantu penduduk membeli barang keperluan harian pada harga berpatutan di samping menjimatkan masa mereka tanpa perlu berkunjung ke pasar raya.
“Barangan ditawarkan juga berkualiti dan segar, maka usaha ini bertepatan bagi membantu mengurangkan kos belanja harian setiap warga,” katanya ketika ditemui selepas melawat gerai yang terlibat dalam Program Jualan Sentuhan Rakyat di PPR Cochrane di sini, hari ini.
Sejumlah 20 khemah jualan dibuka untuk orang ramai membeli pelbagai barangan yang ditawarkan serendah RM2 seperti minyak masak, gula, tepung selain ayam, daging dan ikan segar dijual lebih rendah berbanding harga biasa – UTUSAN ONLINE