KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia meningkatkan pelaburannya dalam dana ekuiti swasta (PE) yang mematuhi syariah.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburannya, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif, berkata dana berkenaan bagaimanapun adalah terhad.
Mohamad Nasir berkata, dana pencen itu tidak memenuhi sasaran peruntukan aset sepenuhnya untuk segmen PE KWSP.
“Kami memperuntukkan 10 peratus daripada pelaburan kami dalam ruang alternatif yang terdiri daripada infrastruktur dan hartanah.
“Pelaburan PE kami kini berada pada empat peratus dan hanya separuh daripadanya dalam dana patuh syariah,” katanya.
Beliau berkata, terdapat kekurangan dana sedemikian di pasaran domestik dan antarabangsa meskipun peningkatan permintaan dari negara Islam.
Katanya, KWSP akan terus melabur dalam dana patuh syariah dan konvensional secara serentak.
“Cabaran utama adalah mencari dana PE patuh syariah. Kami akan terus meningkatkan pelaburan dalam dana konvensional dan ingin menggalakkan lebih banyak dana patuh syariah untuk tersedia di pasaran,” katanya.
Mohamad Nasir kepada BERNAMA di luar acara Forum AVCJ Private Equity Venture – Malaysia, di sini hari ini.
Bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2017, simpanan patuh syariah KWSP berjumlah RM820.71 juta daripada RM11.51 bilion jumlah pendapatan pelaburannya, manakala RM10.69 bilion dijana daripada simpanan konvensional.
Simpanan syariah memperoleh pendapatannya semata-mata dari bahagian aset patuh syariahnya, manakala pendapatan dari simpanan konvensional dijana oleh aset patuh syariah dan bukan patuh syariah.
Setakat 31 Disember 2016, nilai aset pelaburan KWSP meningkat sebanyak 3.92 peratus berbanding tahun ke tahun kepada RM759.78 bilion daripada RM731.11 bilion.
Daripada jumlah aset pelaburan, sebanyak 47.71 peratus adalah pelaburan patuh Syariah manakala baki dilaburkan dalam aset tidak patuh syariah.
Disadur dari : https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2017/09/327577/kwsp-tingkat-pelaburan-dana-ekuiti-swasta-patuh-syariah