Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, justeru itu setiap syarikat mahupun pihak yang terlibat di dalam sektor logistik dan pengangkutan tidak perlu berasa was-was mengenai komitmen kerajaan dalam memajukan industri itu.
Katanya, komitmen kerajaan itu turut dibuktikan dengan memajukan infrastruktur pengangkutan seperti aliran transit massa (LRT), Lebuhraya Pan Borneo, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta keretapi berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura.
“Kerajaan sentiasa berada di belakang bagi membantu industri ini, kerana ia amat penting untuk memacu ekonomi Malaysia termasuk dari segi penciptaan peluang pekerjaan.
“Beberapa projek berskala besar yang masih berjalan. Apabila semuanya siap, saya jamin Malaysia akan mempunyai rangkaian pengangkutan keretapi, darat, laut dan udara yang bersepadu,” katanya semasa sesi pembukaan Kongres Persatuan Pengangkutan Penghantar Bersekutu Antarabangsa (Fiata) Sedunia ke-56 di sini hari ini.
Tambah Tiong Lai, selari dengan trend semasa kerajaan turut menyediakan kemudahan logistik bagi memenuhi aktiviti e-dagang di negara ini dengan membangunkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).