ORANG ramai datang untuk melihat Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar di Keramat. – Foto Eizairi Shamsudin (bharian.com.my)

PERNAH suatu ketika sewaktu saya sedang mengisi minyak kereta, saya didatangi seorang budak lelaki bersongkok yang umurnya saya agak, lewat sekolah rendah. Dia perkenalkan diri sebagai seorang pelajar maahad tahfiz di sebuah negeri di Utara dan meminta saya untuk membuat pembelian amal produk krim herba bagi membantu anak-anak yatim di sekolahnya.

Saya kelu dan kaku sebentar, seribu satu soalan yang muncul di minda saya seperti sekolah jenis apakah yang menghantar pelajarnya untuk menjadi jurujual di stesen minyak? Mengapa dia datang meminta derma pada waktu dan hari bersekolah? Adakah dia juga anak yatim atau adakah dia mempunyai ibu bapa? Mengapa sekolah ini memerlukan bantuan untuk pengajian pelajarnya tetapi pada masa sama boleh menanggung kos perjalanan membawa murid dari Utara tanah air ke Kuala Lumpur untuk jual barang?

Saya yakin anda juga pernah alami kejadian sama berdepan pelajar yang mengaku diri mereka dari maahad tahfiz, lengkap berpakaian berserta kad pelajar datang membuat jualan amal. Kejadian seperti ini serta beberapa kes yang kita dengar sejak dua menjak ini membuatkan saya terdetik untuk menulis akan hal ini.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita, selaku sebuah masyarakat Muslim mengadakan satu perbincangan yang jujur mengenai institusi maahad tahfiz.

Apabila saya dengar kes mengenai kejadian demi kejadian di maahad tahfiz, perkara pertama saya persoalkan ialah apa yang kerajaan buat bagi mengawal selia institusi ini. Perasaan marah dan tidak puas hati mengiringi dengan setiap pembacaan berita-berita negatif dan kisah sayu tragedi menimpa anak-anak ini.

Namun saya difahamkan oleh rakan-rakan lebih arif dalam bidang perundangan bahawa bidang kuasa hal ehwal agama terletak di bawah kuasa negeri, sama seperti Mahkamah Syariah. Ini bermaksud kawal selia dari segi sukatan mata pelajaran, kualiti guru dan syarat lesen berbeza mengikut negeri masing-masing dan saya kira ini menimbulkan kelemahan ketara. Mungkin tiba masanya satu garis panduan umum seragam boleh diperkenalkan di setiap negeri, iaitu sebelum sesebuah sekolah tahfiz itu dibuka, mereka wajib mematuhi syarat asas dari segi sukatan mata pelajaran, kualiti pendidik dan kelayakan tenaga pengajar hinggalah ke status dan kemampuan kewangan sesebuah sekolah itu.

Kalau kita boleh bersepakat mengadakan pensijilan halal yang seragam di seluruh negara, saya pasti kita boleh melakukan perkara sama bagi institusi pengajian tahfiz ini. Agak menyedihkan apabila sekolah memandu mempunyai garis panduan dan kawalan selia lebih baik dari institusi pendidikan agama kita.

Saya difahamkan apabila seseorang anak itu dihantar ke sekolah pondok atau pusat tahfiz, keutamaan ialah untuk menghafal al-Quran. Saya ada terbaca laporan akhbar bahawa pelajar tahfiz diperuntukkan sehingga lapan jam sehari khusus bagi menghafal ayat-ayat Quran dan pada masa lainnya mereka diajar mata pelajaran sukatan biasa.

Walaupun saya berasa agak aneh apabila pelajar dididik untuk menghafal ayat Quran, penumpuan kurang diberi untuk memahami apa yang dihafal, saya anggap mungkin ada kebaikan. Masalahnya, sukatan mata pelajaran sekolah tahfiz ini tidak seragam kerana ia bukan di bawah kawalan selia Kementerian Pendidikan dan berdasarkan laporan, kebanyakannya tidak didaftarkan dengan majlis agama negeri.

Pelaburan akhirat

Benar ada kebaikan untuk didikan agama diterapkan ke dalam naluri anak-anak kita, namun untuk mereka menjadi manusia yang berjaya dan memberi manfaat kepada masyarakat, mereka juga memerlukan ilmu lain seperti penguasaan bahasa, matematik dan sains. Sekiranya pengkhususan terlalu diberikan untuk menghafal sahaja, dan pada masa sama penekanan terhadap penguasaan disiplin ilmu lain diabaikan, takut-takut anak-anak tahfiz ini kelak tidak mempunyai peluang dan ruang untuk mereka menceburi bidang lain.

Lebih menyedihkan apabila saya juga ada mendengar cerita di mana ada datuk dan nenek menghantar cucu mereka ke sekolah tahfiz ini kerana mereka mahu ada cucu yang akan doakan mereka kelak, pelaburan akhirat.

Saya berasa amat kurang senang dengan pendapat dan pemikiran seperti ini kerana hasrat kita mendidik anak-anak kita sepatutnya untuk memperkasakan mereka bagi menentukan hidup sendiri dan bukan sebagai saham pelaburan peribadi kita.

Kalau betul sekalipun kita mahu anak kita ini menjadi ustaz atau ustazah, biarlah ia berdasarkan pilihan mereka dan kita sebagai ibu bapa atau penjaga mempunyai tanggungjawab menyediakan batu asas pendidikan yang terbaik bagi mereka menentukan perjalanan hidup mereka.

Kelemahan perlu diakui, diperbincangkan secara terbuka dan diperbaiki sebaik mungkin. Janganlah kita terlalu terikat dengan pemikiran sempit yang mengatakan bahawa sesiapa yang mempersoal pendidikan agama bermaksud mereka anti-Islam atau bencikan institusi pendidikan Islam.

Tidak pernah wujud dalam mana-mana fatwa sekalipun bahawa ustaz dan ustazah serta institusi pengajian langsung tidak boleh dipersoalkan.

Kemajuan tidak akan dicapai sekiranya kita tidak berani terima teguran dan menyorokkan kelemahan di sebalik tabir alasan agama. Namun kita sebagai ibu-bapa dan penjaga juga janganlah semudahnya menyerah tanggungjawab mendidik anak bulat-bulat kepada sekolah dan kerajaan.

Janganlah kita beranggapan kalau kita hantar anak kita ke sekolah agama, maka baiklah budak itu tanpa langsung ambil berat dan turut serta dalam pendidikan mereka. Kunci kejayaan sekolah Cina ialah pembabitan ibu bapa melalui PIBG dan pendekatan sama juga harus kita contohi.

Saya berasa amat pilu melihat akan kejadian yang menimpa pelajar di pusat tahfiz di Keramat, baru-baru ini. Saya tidak berniat menyalah sesiapa atau buat spekulasi sebelum pihak berkuasa melengkapkan siasatan, namun ini tidak bermakna kita harus berdiam diri dan tidak cari jalan terbaik agar perkara seperti ini tidak berulang. Mungkin tiba masanya untuk kita sebagai masyarakat Islam berlaku jujur kepada diri sendiri demi mencari jalan terbaik memajukan dan memperkasakan lagi institusi pendidikan Islam di negara kita.

Disadur dari : https://www.bharian.com.my/kolumnis/2017/09/327170/jujurlah-mengenai-tahfiz

By admin_dato

Yang Berbahagia Professor Dato’ Seri Dr. Alex Ong adalah seorang Ahli Koperat (Perniagaan) yang berjaya khususnya dalam bidang pelaburan. Beliau juga merupakan seorang pejuang budaya yang dikenali ramai dan seorang ahli perniagaan yang dihormati serta pernah dilantik memegang beberapa jawatan sebagai penasihat dalam Kerajaan Negeri di Malaysia. Dengan kepakaran yang ada pada beliau, maka beberapa Pemerintah Provinsi, Kabupaten dan Kota di Indonesia [1] telah melantik beliau sebagai Ketua Perwakilan bagi membantu dan menyokong tugas Kedutaan Besar Republik Indonesia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *