19 SEPT: Penubuhan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara terutama di kawasan bandar tidak berfungsi sebagai jentera politik kerajaan.
Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata pemilihan ahli JPP daripada bukan kalangan Ahli Majlis PBT dilakukan secara terperinci dengan keutamaan kalangan mereka yang bergiat aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.
“Mereka ini bukan jentera kita. Ada orang tuduh sengaja tubuh JPP sebagai jentera parti sedangkan ini adalah jentera yang membawa harapan melalui suara masyarakat bandar.
“Ini bukan makanisme kepartian yang diwujudkan untuk kepentingan politik. Cuma persepsi mereka yang tidak bertanggungjawab yang tidak berpuas hati,” katanya.
Halimah berkata demikian selepas menyempurnakan Penyampaian Watikah Pelantikan dan Sesi Townhall Bersama JPP Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Sementara itu, seramai 1,414 ahli JPP dilantik di Terengganu bagi penggal kedua untuk tempoh dua tahun yang berkuatkuasa mulai 15 April hingga 14 April 2019.
Disaur dari : https://www.bnbbc.my/jpp-dalam-pbt-bukan-jentera-parti-kerajaan/