IPOH 15 Nov. – Pemimpin MIC di negeri ini diingatkan supaya tidak mensabotaj parti itu jika tidak terpilih sebagai calon Plihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, ini kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya akan menyebabkan tiada wakil kaum India dalam kerajaan negeri bagi menyampaikan hasrat dan keperluan mereka.

Menurut Subramaniam, mereka yang tidak terpilih sebagai calon perlu meneruskan perjuangan serta memberi sokongan penuh kepada calon yang dipilih demi memastikan kelangsungan parti itu pada masa depan.
“Sekarang boleh lobi, tidak salah buat.Tapi apabila sudah buat keputusan nanti, kita perlu bersatu hati, jangan sabotaj dan ganggu satu sama lain.
“Kalau sabotaj kita juga yang akan jadi mangsa. Kalau tiada wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiada exco, siapa yang akan mewakili hasrat dan keperluan masyakakat India di Perak. Jadi siapa yang akan rugi? MIC dan masyarakat Indialah yang akan rugi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Deepavali MIC Negeri Perak yang dirasmikan Menteri Besar yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Dewan Sebaguna, RPT Seri Desa Rishah, Buntong di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE