Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menasihatkan nelayan memakai jaket keselamatan ketika turun ke laut berikutan air pasang besar diramal berlaku bulan ini sehingga Disember akhir tahun ini.
Pengerusi LKIM, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata ia membabitkan pesisir pantai Selangor yang dilihat turut memberi kesan terhadap beberapa kawasan di Perak.
Pada masa sama, katanya, nelayan perlu peka dengan arahan semasa pihak berkuasa selain menggunakan Aplikasi Kesedaran, Keselamatan Komuniti Maritim (3KM) jika berlaku kemalangan di laut.
“Kita sudah mengarahkan Kumpulan Keselamatan Nelayan (KUKENAL) LKIM sentiasa berada dalam keadaan bersedia bagi membantu agensi keselamatan dan pihak berkuasa jika diperlukan.
“Satu jawatankuasa bencana turut ditubuhkan bagi membantu nelayan yang menjadi mangsa fenomena air pasang besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi laman web rasminya menyebut aras air di Sungai Langat, Bukit Changgang, Kuala Langat masing-masing di Selangor berada pada paras 3.99 meter manakala Sungai Labu di Kampung Labu Lanjut, Sepang pada kadar enam meter.
Disadur dari : www.tv14.my/2017/09/20/irmohizam-nasihatkan-nelayan-agar-pakai-jaket-keselamatan/