KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menerima maklum balas menggalakkan daripada institusi perbankan Islam tempatan untuk membangunkan skim pemilikan hartanah berkonsepkan Sewa-Milik seawal akhir tahun ini.

Skim itu adalah antara produk berinovasi tercetus daripada kemajuan sistem kewangan Islam dan infrastrukturnya dalam memenuhi keperluan pelanggan masa kini.

Konsep Sewa-Milik itu mengambil contoh program “Rent-to-Own” PR1MA yang kini menyediakan kemudahan kepada pemohon menyewa kediaman PR1MA sehingga 10 tahun, bersama-sama pilihan membeli kediamannya pada akhir tahun kelima atau ke-10 mengikut harga ditetapkan.

Penolong Gabenor BNM, Marzunisham Omar, berkata berbeza dengan bank konvensional, undang-undang membenarkan perbankan Islam untuk memiliki aset hartanah melangkaui keperluan untuk digunakannya bagi operasi bank.

Justeru, katanya bank pusat menggalakkan perbankan kewangan Islam membangunkan produk inovasi bagi memenuhi keperluan pemilikan kediaman termasuk menerusi konsep Sewa-Milik Ijarah yang diisytihar telus dan adil kepada pelanggan.

“Sudah terdapat beberapa institusi perbankan Islam yang berminat dengan konsep Sewa-Milik, bahkan ada di antaranya berbincang dengan BNM untuk menstrukturkan model perniagaan, risiko dan keperluan berkaitannya.

“Produk inovasi seperti ini lahir daripada pendekatan inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang bertujuan mengukuhkan peranan institusi perbankan Islam dalam memberi nilai lebih besar kepada pelanggan.

Maka orang ramai akan faham kewangan Islam kini bukan lagi menawarkan produk kewangan yang mudah, tetapi juga pelbagai produk berlandaskan kontrak syariah seperti simpanan, pelaburan, pengurusan kekayaan di Malaysia dan global,” katanya pada temu bual BH di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan kebiasaan Konsep Sewa-Milik yang dilaksanakan di luar negara, pihak perbankan Islam boleh menawarkan individu untuk memilih mana-mana hartanah komersial atau kediaman yang disenaraikannya untuk disewa.

Katanya, satu perjanjian Ijarah akan disediakan dalam rundingan pertama yang akan menyatakan beberapa perkara termasuk jumlah sewaan yang sewajarnya kepada penyewa, deposit dan pengisytiharan harga kediaman itu jika penyewa ingin membeli kediaman itu kelak.

“Konsep ini sudah dilakukan di luar negara, semuanya disediakan secara telus dan adil untuk pengguna, mereka tidak perlu mengesahkan komitmen membeli kediaman itu ketika mula-mula memeterai perjanjian itu.

“Tempoh berapa tahun yang dibenarkan untuk pembeli membeli hartanah itu juga berbeza dan tertakluk kepada pengurusan risiko bank yang menyediakan perkhidmatan ini.

“Pengguna boleh beli kediaman itu pada harga yang ditetapkan ketika perjanjian awal dan kelebihannya penyewa boleh menukar sebahagian sewaan bulanan sebagai deposit untuk dibayar kepada bank ketika membelinya kelak.

“Konsep ini akan membantu pengguna khususnya golongan muda memiliki kediaman tanpa perlu berdepan kesukaran mendapatkan deposit wang pendahuluan 10 peratus yang ditetapkan untuk membeli kediaman,” katanya.

Pada enam bulan pertama tahun ini, institusi perbankan meluluskan RM78.1 bilion kepada 183,655 peminjam bagi membeli rumah dan lebih 70 peratus adalah bagi pembeli rumah pertama.

Daripada angka itu, seramai 116,640 peminjam adalah bagi membeli rumah berharga RM500,000 ke bawah.

INFO

Konsep Sewa-Milik>

– Hartanah berpotensi ditawarkan perbankan Islam

– Tukar sebahagian wang sewaan kepada deposit pendahuluan

– Tawar pilihan beli hartanah selepas beberapa tahun sewaan

– Kajian risiko dan nilai pasaran dilaksanakan bank

– Bank wajib menyatakan harga tawaran untuk belian dalam perjanjian awal

– Pengguna dilindungi dengan perjanjian adil, telus

Disadur dari : https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2017/09/328358/institusi-perbankan-islam-digalak-sedia-skim-sewa-milik

By admin_dato

Yang Berbahagia Professor Dato’ Seri Dr. Alex Ong adalah seorang Ahli Koperat (Perniagaan) yang berjaya khususnya dalam bidang pelaburan. Beliau juga merupakan seorang pejuang budaya yang dikenali ramai dan seorang ahli perniagaan yang dihormati serta pernah dilantik memegang beberapa jawatan sebagai penasihat dalam Kerajaan Negeri di Malaysia. Dengan kepakaran yang ada pada beliau, maka beberapa Pemerintah Provinsi, Kabupaten dan Kota di Indonesia [1] telah melantik beliau sebagai Ketua Perwakilan bagi membantu dan menyokong tugas Kedutaan Besar Republik Indonesia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *