Rakaman satelit di kawasan penduduk etnik Rohingya di Rakhine menunjukkan ia dibakar secara meluas dipercayai didalangi tentera Myanmar yang ‘dibantu’ oleh pelampau Buddha ketika jumlah kematian pelarian akibat ditembak, terkena periuk api mahupun lemas semasa cuba melarikan diri semakin bertambah.

Memburukkan keadaan, tawa­ran gencatan senjata sementara oleh pejuang Tentera Keselamatan Arakan Rohingya (ARSA) yang didakwa menjadi punca kepada krisis kemanusiaan di Rakhine ditolak ‘mentah-mentah’ oleh tentera Myanmar yang memberikan alasan mereka tidak berun­ding dengan ‘pengganas’.

Namun, agak menghairankan kerana ARSA bukannya satu-satu kumpulan bersenjata yang wujud dan ‘diperangi’ oleh tentera Myanmar kerana negara itu juga mempunyai beberapa lagi kumpulan pemberontak lain seperti Tentera Pembebasan Kachin, dan kumpulan pemberontak etnik Ko­kang yang sehingga kini masih berjuang menuntut hak mereka.

Seperti ada pilih kasih, kerajaan Myanmar yang sebelum ini pernah menawarkan untuk berunding de­ngan kumpulan etnik bersenjata Kachin dan Kokang, dilihat langsung tidak berlembut dengan ARSA yang didakwa mula mencetuskan keganasan terbabit dengan menyerang pondok polis selain membunuh anggota ke­selamatan.

Ironinya, ARSA yang hanya ber­senjatakan bom buatan sendiri, kayu, tombak dan pedang bagi mempertahankan kumpulan mi­noriti itu daripada penyeksaan jangka panjang oleh kerajaan Myanmar ketika etnik Islam ber­kenaan dinafikan kerakyatan mu­la meraih perhatian kumpulan militan antarabangsa seperti al-Qaeda.

Al-Qaeda dalam satu kenya­taan berkata, mereka tidak akan membenarkan layanan buruk ten­tera Myanmar ke atas Rohingya tanpa sebarang hukuman dan menggesa pejuang kumpulan itu di Bangladesh, India, Pakistan dan Filipina supaya membantu saudara-mara mereka di Rakhine.

ARSA jelas kurang senang de­ngan perkembangan itu dan menafikan kumpulan terbabit mempunyai sebarang kaitan de­ngan kumpulan pengganas antarabangsa dan mahu negara yang bersempadan dengan Myanmar supaya menghalang kemasukan militan tersebut daripada memasuki Rakhine yang dibimbangi hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Kerajaan Myanmar di bawah pentadbiran pemimpin Aung San Suu Kyi sepatutnya bimbang de­ngan minat al-Qaeda itu kerana kumpulan militan di Asia Tenggara sudah mula bertapak di negara kepulauan seperti Abu Sayyaf di selatan Filipina dan kumpulan militan Mu­jahidin Indonesia Timur (MIT) yang mengangkat ikrar kesetiaan kepada Daesh.

Kekuatan pengaruh rangkaian pengganas menarik penyertaan Mujahidin dari seluruh dunia seperti yang berlaku di Marawi, Filipina ketika ini sepatutnya dijadikan peringatan kepada kerajaan kerana dibimbangi Myanmar akan menjadi tapak baharu kepada anggota militan di tanah besar Asia seperti yang berlaku di Iraq dan Syria.

Justeru, perlu ada penyelesaian segera oleh kerajaan Myan­mar yang merupakan anggota ASEAN supaya mana-mana kumpulan pengganas tidak akan bertapak di rantau ini sekali gus menjamin ASEAN sebagai sebuah destinasi selamat.

ASEAN pada masa sama perlu memainkan peranan yang lebih agresif sebagai badan serantau Asia Tenggara dengan mendesak Yangon segera menghentikan ope­rasi ketenteraan ke atas etnik Rohingya ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa Myanmar menghentikan keganasan tersebut.

Badan serantau itu juga perlu lantang menekan Myanmar yang mendakwa mendapat sokongan China dalam tindakan mereka supaya mematuhi Piagam ASEAN 2007 yang antara lain memupuk keamanan dan identiti serantau serta penyelesaian pertikaian secara damai melalui dialog dan rundingan.

Kedegilan Myanmar menghen­tikan operasi ketenteraan di Myan­mar hanya akan membawa ben­cana kemanusiaan yang lebih teruk dengan PBB telah pun menyamakan langkah Yangon di Rak­hine sebagai penghapusan etnik.

Justeru sudah tiba masa bagi ASEAN tidak lagi berlembut dan memberi kata dua kepada Myanmar sekiranya negara itu masih berminat untuk bersama badan serantau tersebut kerana perbuatan mereka melayan etnik Rohingya dengan teruk sama sekali tidak boleh diterima.

Disadur dari : http://m.utusan.com.my/berita/luar-negara/hentikan-segera-krisis-rohingya-1.527678#