Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, cukai tersebut akan dikenakan kepada syarikat luar yang membekalkan produk dan perkhidmatan kepada pengguna di negara ini.
Ujarnya, perkara tersebut dijangka dapat dimuktamadkan pada sesi pembentangan di Parlimen akan datang.
“Kita sedang jalankan perbincangan dengan bahagian percukaian Kementerian Kewangan dan sedang meminda beberapa perkara dalam akta tersebut bagi membolehkan kita mengenakan cukai ke atas sektor ekonomi digital.
“Ia hanya dikenakan kepada pembekal perkhidmatan yang menjalankan perniagaan dari luar negara. Ini akan secara tidak langsung membantu meningkatkan perolehan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian Persidangan GST 2017 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah dan Presiden Institut Akauntan Malaysia, Salihin Abang.
Terdahulu Irwan dalam ucapan perasmiannya berkata, Malaysia akan mengenakan cukai ke atas penyedia perkhidmatan antarabangsa seperti Facebook, Google dan Uber.
Katanya, apabila siap dipinda kelak, kerajaan akan mempunyai asas undang-undang bagi memastikan syarikat tersebut berdaftar dan dikenakan cukai.
Pada September lalu, Reuters melaporkan Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol mahukan syarikat multinasional seperti Amazon dan Google dikenakan cukai di Eropah berdasarkan pendapatan, bukannya keuntungan seperti yang dibuat ketika ini.
Perancis mengetuai langkah berkenaan dan turut mendapat sokongan daripada negara-negara lain yang turut kecewa dengan cukai yang rendah diterima di bawah peraturan antarabangsa semasa.
Menurut menteri-menteri kewangan negara terlibat, pada masa ini syarikat sedemikian dikenakan cukai di atas keuntungan yang direkodkan oleh anak-anak syarikat mereka di negara-negara yang mengenakan cukai rendah seperti Ireland walaupun perolehan mereka datangnya dari negara-negara Kesatuan Eropah (EU) yang lain.
“Ini tidak boleh diterima kerana syarikat-syarikat ini menjalankan perniagaan di Eropah namun membayar cukai yang sangat rendah kepada perbendaharaan negara,” jelas mereka dalam sepucuk surat kepada Reuters.
Dalam pada itu Subromaniam berkata, JKDM menyasarkan kutipan GST pada tahun ini melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM42 bilion.
Katanya, tahun 2016 menyaksikan sebanyak RM41.2 bilion berjaya dikutip berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak RM39 bilion.
Beliau berkata, jumlah individu dan syarikat yang berdaftar di bawah GST turut meningkat kepada 452,793 sehingga semalam.