KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) — Menakjubkan, terpesona, canggih, moden! Demikian gambaran rata-rata mereka yang mengunjungi pameran infrastruktur berskala besar, Ekspo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka, di sini.
Ekspo bertaraf antarabangsa yang mula dibuka sejak 10 pagi tadi bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung mengetahui secara lebih jelas mengenai hala tuju pembangunan negara, malah mereka juga seolah-olah ‘dibawa menerokai’ masa hadapan negara menerusi aplikasi teknologi interaktif di bawah lima kubah dengan paparan visual 360 darjah.

Meskipun baru dibuka hari ini, tinjauan Bernama dari pukul 10 pagi hingga 3 petang mendapati ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara, tanpa mengira lapisan umur berpusu-pusu mengunjungi ekspo berkenaan bagi mengetahui keistimewaan yang dipamerkan dalam setiap kubah.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Larkin 2, Johor Bahru, Johor, Rodyisnansyah Julaihi berkata pameran itu bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan dewasa, malah turut memberi ilmu kepada pelajar sekolah.
“Ekspo ini sangat menarik kerana ia bukan sahaja bersifat informatif dan interaktif, malah pengunjung dapat menyentuh, mencuba dan merasai pelbagai pengalaman di setiap kubah pameran.