20 SEPT: Datuk Bandar Kuala Lumpur enggan mengulas tentang desakan pembangkang untuk mengkaji semula larangan mengadakan pesta arak Better Beer Festival pada 7 Oktober ini.
Sebaliknya Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata beliau berharap agar semua pihak menyokong keputusan yang telah dibuat demi kepentingan semua masyarakat amnya.
“Saya tak perlu beri ulasan. Cukup sekadar pihak yang berkaitan memberi sokongan keputusan kami. Media anda seharusnya memberi sokongan,” katanya ringkas menerusi Whatsapp kepada BNBBC.my portal pada Rabu.
Program Better Beer Festival 2017 itu dianjurkan sebuah syarikat pengedar bir.
Ia penganjuran kali ketiga selepas pertama kali diadakan pada 2012 dan kali kedua tahun lalu.
Bagaimanapun Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khalid Zakaria dalam satu kenyataan mengesahkan DBKL menerima permohonan daripada pihak penganjur pada 28 Ogos lalu untuk menjalankan aktiviti berkenaan pada 6 hingga 7 Oktober ini di Solaris Damansara, Kuala Lumpur bermula jam 2 petang hingga 11 malam.
Namun permohonan tersebut tidak diluluskan.
Susulan daripada itu, pemimpin DAP meminta agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula penolakan permohonan penganjuran “Better Beer Festival 2017”
Mereka ialah ahli parlimen Cheras, Tan Kok Wai, ahli parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun, ahli parlimen Seputeh Terea Kok, ahli parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr Tan Kee Wong, dan Segambut Lim Lip Eng.
“Kami rasa kesal kerana kerajaan tempatan seperti DBKL cuba alih pandangan dengan berlagak jadi jaguh agama. Tindakan DBKL ini memang tidak prihatin dan kelihatan tunduk dengan permainan parti politik serta tidak mempedulikan semangat muhibah pelbagai kaum di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” ujar pemimpin tersebut dalam satu kenyataan.
Disadur dari : https://www.bnbbc.my/dbkl-takkan-kaji-larangan-pesta-arak/