Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, tindakan DAP juga membuktikan bahawa parti cauvinis Cina itu tidak ikhlas membantu rakyat dan menurunkan kadar rasuah negara.

Jelas beliau, sebahagian ahli DAP sudah lama menjadi Ahli Parlimen, sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk mengisytiharkan harta mereka sebagai teladan kepada rakyat.

“Sebelum ini mereka banyak perkatakan tentang menghapuskan rasuah, namun hari ini mereka sendiri tidak mahu mengisytiharkan harta.

“Kenapa nak tunggu menang dalam PRU-14 baru nak isytihar harta? Jika tiada apa mahu disorok, mereka tidak perlu takut isytihar harta,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Memetik laporan propembangkang, MalaysiaKini, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata kepimpinan parti itu hanya akan mengisytiharkan harta mereka apabila berjaya menawan Putrajaya.

“Sebaik sahaja menjadi ahli majlis eksekutif negeri, menjadi menteri, kami mesti dan akan mengisytiharkan aset kami.

“Ini adalah pendirian DAP,” katanya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara kepada pemberita dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Tunku Abdul Aziz berkata, pendirian DAP itu juga jelas menunjukkan sikap tidak ikhlas ahli DAP bermula daripada Penasihatnya, Lim Kit Siang sehinggalah ke akar umbi dalam membela rakyat.

“Janganlah bercakap tentang falsafah DAP sekiranya bab pengisytiharan harta pun mereka tak mahu buat. Jelas tunjukkan mereka cuba lari dari tanggungjawab.

“Masyarakat mahu kebanyakan ahli politik ini supaya mengisytiharkan harta hanyalah untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa yang akhirnya mengakibatkan gejala rasuah,” katanya. – UTUSAN ONLINE