KUALA LUMPUR, 21 Sept – Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam hairan dengan dakwaan sesetengah pihak khususnya kalangan pembangkang kononnya negara bukan sahaja berdepan dengan bankrap malah pertumbuhan enonomi yang tidak menentu.
Sehubungan itu beliau tampil menjelaskan berhubung dakwaaan tersebut dengan menyifatkannya sebagai tidak betul kerana hari ini negara pertumbuhan ekonominya cukup tinggi dan dakwaan sedemikian hanyalah untuk mengelirukan rakyat semata-mata.
“Kepelbagaian sumber pendapatan negara yang tidak hanya tertumpu kepada hasil minyak membolehkan negara berada pada kedudukannya tersendiri. Dengan wujudnya cukai Good And Services Tax (GST) sebagai ganti kepada Sales And Sevices Tax (SST) yang sebelum ini berlaku ketirisan kepada hasil kerajaan membolehkan sumber pendapatan negara tidak terjejas teruk.
“Bayangkan kita dengan kehilangan hasil minyak setelah berlaku penurunan yang cukup ketara sebelum ini tanpa adanya GST apa akan terjadi…Inilah yang menyelamatkan kita dan daripada hasil berkenaan macam-macam yang kita boleh laksanakan.
“GST hari ini terbaik. Pada 2016 GST berjaya dikutip RM41 bilion berbanding kutipan SST pada 2014 adalah RM14 bilion…beza RM27 bilion…RM27 bilion inilah yang menyelamatkan kita apabila kita dilanda musibah minyak jatuh,” katanya pada sesi Town Hall Jelajah Penerangan bersama UMNO bahagian Sepang.
Katanya lagi, dalam keadaan negara kehilangan pendapatan sebanyak RM35.9 bilion dan ianya diselamatkan pula dengan hasil GST, ianya masih berlaku kekurangan terhadap hasil negara.
Namun tambahnya lagi kerajaan tidak mengambil pendekatan sepertimana negara-negara luar yang bergantung kepada hasil minyak sebaliknya mengambil pendekatan tersendiri dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban.
“Inilah kelebihan kita dan jelas segala tohmahan yang dilontarkan adalah untuk mengelirukan rakyat khususnya dalam soal GST ini. Dan pertumbuhan ekonomi pada suku kedua tahun ini kepada 5.8 peratus menafikan dakwaan kononnya negara kita bankrap. Kalau itulah ukuran mereka banyak lagi negara lain yang akan bankrap,” katanya.
Disadur dari : www.umno-online.my/2017/09/21/dakwaan-negara-bangkrap-sekadar-kelirukan-rakyat-lokman/