JOHOR BAHRU: Proses pemutihan masalah dadah secara menyeluruh hanya akan berjaya jika pengedar bahan terlarang itu dapat ditangkap pihak berkuasa.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat, menggesa polis dengan kerjasama pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan masyarakat untuk bersama menghapuskan sindiket pengedaran dadah.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pelawat Klinik Cure & Care 1 Malaysia Tampoi berkata, ia boleh dijayakan dengan melakukan siasatan terperinci mencari dalang pengedar dadah dan melakukan tangkapan segera.
“Ini berikutan kenyataan akbar oleh AADK yang menyatakan enam daripada tujuh remaja yang disyaki menyebabkan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah diuji positif dadah jenis ganja.
“Pihak polis perlu menumpukan perhatian mencari di mana remaja ini mendapat bekalan dadah.
“Kalau mereka (suspek) sudah diuji dan disahkan positif, tentunya mereka tahu siapa yang menjual atau memberi dadah itu kepadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat ahli lembaga pelawat Kilinik Cure & Care 1 Malaysia di Tampoi, semalam.
Tengku Putra turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada Khamis lalu.
Disaur dari : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/09/327882/cekup-pengedar-dadah#cxrecs_s