Menteri Kesejahteraan Ban­dar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, langkah itu penting memandangkan golongan M40 turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Kata beliau, banyak projek yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dengan kerjasama pihak swasta dalam usaha mencapai sasaran membina sebanyak satu juta unit rumah mampu milik bagi memenuhi permintaan semua golongan rakyat yang ingin memiliki kediaman selesa.

“Setakat ini, kita sudah mencapai lebih 75 peratus bagi projek rumah mampu milik yang sudah siap, dalam rancangan dan sedang dilaksanakan.

“Oleh itu, saya meminta pihak swasta untuk membina lebih banyak rumah mampu milik bagi golongan M40 dalam usaha meneruskan inisiatif itu,” katanya,

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah Kebangsaan 2017 anjuran Institut Kepemimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Penge­rusi ASLI, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr. Michael Yeoh.

Persidangan yang diadakan selama dua hari itu melibatkan pemain industri dan pihak berkepentingan bagi membincangkan isu kepentingan sektor perumahan dan hartanah serta menilai keadaan pasaran hartanah di negara ini.

Jelas Noh, beliau turut menggalakkan pemaju swasta untuk melaksanakan kaedah sewa untuk dimiliki atau ‘rent to own’ (RTO) bagi membantu golongan M40 yang berhadapan masalah pinjaman bank.

Dalam pada itu, Noh berkata, kementeriannya juga telah meminta Bank Negara Malaysia (BNM) mempertimbangkan pemberian kelonggaran dalam terma dan syarat bagi permohonan pinjaman untuk pembeli rumah pertama.

“Dalam mesyuarat bersama BNM baru-baru ini, kita sudah menyuarakan isu kewangan yang dihadapi oleh kebanyakan pembeli rumah dan berharap agar mereka dapat mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan itu,” katanya.

Disadur dari : www.utusan.com.my/berita/nasional/bantu-rakyat-miliki-rumah-8211-noh-omar-1.534588