Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, SPRM di bawah kepemimpinan Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad telah menunjukkan satu transformasi yang cemerlang dalam memerangi gejala rasuah melalui siri tangkapan dan pendakwaan.
Irmohizam yang juga Anggota Jawatankuasa Parlimen Menangani Rasuah (JKMR) berkata, atas sebab itu Mohamed Azmin tiada alasan menolak IBR dan tidak menghadiri majlis sambutan Jubli Emas SPRM serta program Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 (Kejar) di Petaling Jaya semalam.
“Saya berpendapat, program Kejar 2017 bakal memberikan momentum kepada rakyat untuk bersama-sama SPRM mencegah gejala rasuah.
“Malangnya, masih ada pihak yang tidak menghormati perjuangan integriti ini seperti Mohamed Azmin yang masih berdolak-dalik untuk melaksanakan IBR dan tidak menghadiri majlis itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
SPRM semalam memulakan program Kejar 2017 yang merupakan inisiatif suruhanjaya itu untuk mempromosikan semangat membanteras rasuah dan salah guna kuasa di seluruh negara.
Dzulkifli berkata, program secara konvoi yang akan berlangsung sehingga 30 September tersebut merupakan satu daripada usaha untuk mendekati dan mendapatkan sokongan rakyat untuk menolak rasuah.
Dalam pada itu, Irmohizam menyuarakan keyakinan bahawa ketidakhadiran Mohamed Azmin dalam majlis itu sudah pasti akan dialih dengan pelbagai alasan.
“Jika sebelum ini Mohamed Azmin menyatakan kerajaan PKR Selangor telah mengawal pelakuan rasuah dengan baik daripada SPRM, ironinya Naib Presiden PKR sendiri, Rafizi Ramli pernah cuba untuk membuktikan terdapatnya rasuah dalam kalangan pentadbir negeri.
“Apa yang penting kini ialah kerajaan PKR Selangor harus membuktikan komitmen mereka memerangi rasuah dan salah guna kuasa, bukannya memberikan alasan untuk tidak menandatangani IBR,” ujarnya.
Disadur dari : m.utusan.com.my/berita/politik/azmin-tiada-alasan-tolak-ibr-irmohizam-1.528495#