MANILA: Menteri Ekonomi ASEAN hari ini menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Hong Kong, sekali gus membolehkan mana-mana syarikat dari Asia Tenggara termasuk Malaysia menyertai sektor perkhidmatan negara itu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata FTA itu terhasil setelah perbincangan selama tiga tahun iaitu FTA ke-7 ASEAN dengan negara lain termasuk China, Jepun dan Korea Selatan sebelum ini.
“Kita tahu sektor perkhidmatan Hong Kong adalah antara tertinggi di dunia iaitu 93 peratus, sedangkan kebanyakan negara lain cuma 70 peratus manakala Malaysia 54 peratus.
“Ini bermakna mana-mana syarikat boleh memasuki sektor perkhidmatan Hong Kong seperti dalam bidang telekomunikasi, pendidikan dan alam sekitar,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan sidang kemuncak berkaitan.
Mustapa juga berkata, hari ini pihaknya turut membincangkan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Katanya, Indonesia selaku penyelaras membentangkan laporan mengenai RCEP termasuk cabaran dihadapi kerana ada negara anggota berbeza pendapat mengenai isu itu.
RCEP adalah cadangan FTA antara 10 anggota ASEAN serta enam negara yang mempunyai FTA dengan ASEAN iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.
Negara anggota RCEP mempunyai 3.4 bilion penduduk dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah AS$21.4 trilion atau kira-kira 30 peratus daripada KDNK dunia.
“Isu pertamanya ialah bagaimana nak rapatkan jurang dan kami Menteri mahukan ada kompromi, jika tidak ia sukar untuk dijalankan. Satu mesyuarat RCEP diadakan lusa membabitkan buat kali pertama ketua-ketua kerajaan.
“Sebagai contoh, mesyuarat TPP membabitkan ketua negara diadakan setiap tahun dan ini menyebabkan TPP dapat ditandatangani walaupun akhirnya (Presiden) Donald Trump tak setuju.
“Kita harap dengan ada mesyuarat dalam kalangan ketua-ketua kerajaan RCEP ini akan memberi arahan kepada kami menteri dan pegawai, mengenai hala tuju RCEP. Kita jangka ketua-ketua negara nanti akan beri arahan lanjut mengenai isu ini,” katanya.
Disadur dari : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/349895/asean-tandatangani-fta-dengan-hong-kong