KUALA LUMPUR, 18 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Dr. Sr. Muhamad Farid Saad berkata, alasan yang diberikan oleh Lim Guan Eng bahawa beliau terlepas pandang berhubung kegagalan menyalurkan sekurang-kurangnya RM22.09 juta peruntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri sebagaimana yang dinyatakan dalam Laporan Audit Pulau Pinang 2016 secara jelas menggambarkan bahawa Guan Eng sebenarnya tidak mempunyai kredibiliti untuk menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri.
Jelas beliau, alasan tersebut sebenarnya hanyalah salah satu helah agar tidak menjawab persoalan sebenar berkaitan banjir yang semakin memburuk di negeri Pulau Pinang.
“Alasan Guan Eng itu menunjukkan bahawa dia sebenarnya tidak tahu mengenai selok-belok pentadbiran kerajaan negeri atau dengan kata lain tidak buat kerja.
“Kerajaan negeri gagal menyalurkan peruntukan sejak tahun 2008 sehingga Jun tahun lalu… takkan selama itu Guan Eng tidak sedar perkara ini.
“Hanya kerana sibuk mencari cela orang lain, tanggungjawab sendiri tidak ditunaikan dan akhirnya mulalah mencari pelbagai helah bagi menutup kealpaan sendiri,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Tambah Farid yang juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) negeri, kerajaan negeri juga harus menerima hakikat bahawa punca banjir yang semakin memburuk di negeri itu adalah kerana aktiviti tarahan bukit yang semakin berleluasa sehinggakan kawasan tanah terdedah kepada hakisan.
“Mahu tidak mahu kerajaan negeri pimpinan Dap tidak boleh menafikan perkara ini. Akibat terlalu rakus mencari keuntungan maka rakyat yang terpaksa menanggung akibatnya, dek kerana banjir rakyat rugi ribuan ringgit kerana kerosakan harta benda.
“Adakah kerugian ini akan ditanggung oleh kerajaan negeri?
“Jadi, kerajaan negeri harus berhenti memberi alasan dan menuding jari kepada pihak lain kerana mereka sepatutnya kini mencari jalan penyelesaian segera agar rakyat tidak terus menderita,” ujarnya lagi.
Disadur dari : www.umno-online.my/2017/09/18/alasan-terlepas-pandang-bukti-guan-eng-tiada-kredibliti-sebagai-ketua-menteri/