TAWAU, 15 Mac (Bernama) — Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur pada 11.57 malam tadi.

Pemergian Allahyarham yang berusia 56 tahun itu disahkan adiknya, Faridah ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Faridah berkata abangnya menjalani rawatan kesihatan serta pembedahan akibat kanser usus di hospital tersebut sejak lapan bulan lalu.

“Jenazah abang akan dibawa pulang ke Tawau pagi ini untuk dikebumikan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi adik Allahyarham, Datuk Nizam dalam kenyataan menerusi aplikasi Whatsapp meminta semua mendoakan agar abangnya diampunkan dosa serta memperoleh kemaafan daripada Allah SWT dan rohnya ditempatkan bersama-sama hamba yang soleh.

By MALINDO