KUALA LUMPUR 16 Okt. – Sebanyak 600 peserta mengambil bahagian pada Konvensyen Industri Digital Bumiputera (KIDB) 2017 yang julung-julung kalinya dianjurkan hasil inisiatif Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Pengerusi Gabem, Tan Sri Dr. Abdul Rahim Thamby Chik berkata, KIDB menjadi platform penting untuk para peserta mengetahui peranan dan juga potensi ekonomi digital yang signifikan dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta menjadikan Malaysia antara destinasi kondusif untuk berurus niaga.
Beliau berkata, seiring cita-cita untuk menjadi negara maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi, Malaysia tidak boleh ketinggalan, sebaliknya perlu mengeksploitasi peluang dan potensi industri digital yang kini menyumbang 17.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Jumlah peratusannya dijangka terus berkembang seiring kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi yang merentasi sempadan negara.
“Menyedari potensinya, kerajaan telah mengisytihar 2017 Tahun Ekonomi Internet dengan menggariskan lima teras strategik bagi memacu ekonomi Malaysia ke arah revolusi digital, termasuk kluster fizikal, pembiayaan modal berisiko, hubungan, bakat dan rangka kerja kawal selia.
“Kerajaan juga telah mengumumkan Zon Perdagangan Bebas Digital yang menggabungkan lokasi, insentif serta modal kepada sektor industri digital negara,” katanya pada ucapan pembukaan KIDB 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dekat sini hari ini.
Majlis penutup bakal disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/600-peserta-sertai-kidb-2017-1.538534#ixzz4veZiDs6y
© Utusan Melayu (M) Bhd