KUALA LUMPUR: Malaysia Relief Agency (MRA) akan menghantar bantuan kemanusian kepada pelarian Rohingya di Cox Bazar, Bangladesh minggu depan.
Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata bantuan bernilai RM150,000 hasil kutipan Tabung Bantuan Kemanusiaan Rohingya MRA yang dilancarkan sejak minggu lalu.
Katanya, bantuan terbabit terbahagi kepada perlindungan sementara, makanan, perubatan dan air bersih.
“Pelarian Rohingya semakin bertambah setiap hari dan bantuan sedia ada semakin berkurangan secara tidak langsung memerlukan bantuan tambahan yang lebih besar daripada semua pihak.
“Menurut perangkaan terbaru daripada International Organization of Migration (IOM), seramai 370,000 pelarian Rohingya menyeberangi sempadan negara itu untuk menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Daud berkata, MRA sentiasa memantau situasi terkini yang berlaku di Cox Bazar dengan berlakunya migrasi besar-besaran etnik Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh.
Beliau berkata, sehingga kini krisis berkenaan masih belum menemui jalan penyelesaian dan dijangka bertambah buruk sekiranya pelarian terbabit tidak diberi bantuan kemanusiaan yang sewajarnya.
“MRA ingin mengambil kesempatan merakamkan penghargaan jutaan terima kasih kepada Pertubuhan Amanah Hawi al-Khairat Malaysia yang menyampaikan sumbangan RM100,000 bagi membantu pelarian Rohingya,” katanya.
Beliau berkata, MRA meminta semua rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu menyumbang ke Tabung Bantuan Kemanusiaan Rohingya melalui akaun Maybank 5640 9820 6365 di atas nama Malaysian Relief Agency.
Orang ramai juga boleh menghubungi MRA di talian telefon 03-9174 4672 atau 013-337 1672 atau lawat laman sesawang www.mra.my.
MRA menyasarkan bantuan sebanyak RM1,000,000 untuk melaksanakan misi bantuan kecemasan dan jangka panjang.
Disadur dari : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/09/327016/mra-hantar-bantuan-minggu-depan